Catatan Myazarra

Catatan Myazarra

Friday, September 27, 2019

MAJLIS BACAAN YAASIN, SOLAT HAJAT, RESTU ILMU

Assalamualaikum...

27 September 2019, 8.30 pagi
Aku menghadiri majlis bacaan yaasin, solat hajat dan restu ilmu untuk pelajar calon PT3 dan SPM di sekolah Atiqah. Serentak hari yang sama...sekolah anak bongsuku  di asrama juga mengadakan majlis yang sama.

Aku terpaksa membuat pilihan untuk hadir majlis yang mana memandangkan cuti rehatku dah habis digunakan untuk menunaikan haji. Maka aku memilih untuk menghadiri majlis yang dekat iaitu Atiqah yang akan menduduki SPM manakala anakku Safwana yang akan menduduki PT3 dihadiri oleh ayahnya. 

InsyaAllah...SPM Safwana nanti aku akan cuba hadiri bagi memenuhi hajatnya dan juga bagi memberi semangat kepadanya.

Teringat kata-kata suamiku pagi tadi...macam mana dengan murid yang ibu atau bapanya tak dapat hadir? Adakah mereka akan rasa terpinggir, atau mereka dikumpulkan dan diasingkan daripada murid-murid yang ada parents?

Pada aku, tak kan lah cikgu-cikgu sampai hati untuk berbuat demikian. Biasanya semua murid akan bersalam dengan semua penjaga tanpa mengira ibu atau bapa siapa. Dan kita sebagai ibu atau bapa bukan sahaja mendoakan untuk kecemerlangan anak kita sendiri , malah turut mendoakan kejayaan semua anak didik yang akan menghadapi peperiksaan sama ada PT3 atau SPM.

Majlis selesai pada jam 9.30 pagi...dan seperti biasa Atiqah dah tentunya nak ikut aku balik. 
Alhamdulillah selesai sudah majlis, kini hanya menunggu tarikh peperiksaan sahaja.

Good luck untuk semua calon PT3 dan SPM 2019. Semoga kejayaan milik anda semua.
USAHA....DOA...TAWAKKAL...(solat jangan tinggal).
 SAFWANA...PT3
NUR ATIQAH ......SPM

Sunday, September 22, 2019

Krisis Penampilan Umur 40an

Seminggu dua ni...entah kenapa rasa serba tak kena apabila mengenakan pakaian. Sama ada baju kurung, seluar dan blouse, tudung, kasut, handbag dan segala-galanya yang ada pada wanita.
Mungkinkah ini yang dikatakan krisis umur 40an.

Ketika berbaju kurung, dah mula rasa warna macam tak kena. Tudung pun dah tak tau nak pusing or belit macam mana lagi. Rasa semuanya tak kena untuk digayakan. Walaupun ada suami dan anak-anak gadis yang sudi memberi komen, tapi macam tak yakin dengan komen yang diberikan. Seolah-olah komen diorang ni tak jujur. Walhal diri sendiri yang dah tak ada keyakinan diri untuk berpenampilan.

Maka, aku pun google lah kot-kot ada web yang sudi memberi panduan gaya penampilan yang sesuai dengan umur 40an ni. Tapi semua macam tak menepati. Lebih kepada pengalaman orang seperti aku juga.

Kenapa jadi begini? Aku dah mula rasa macam makcik-makcik je bila masuk fitting room untuk cuba pakaian. Perasaan tu rasa down bila lihat orang yang seusia aku berpenampilan menarik. Aku ni masih tercari-cari penampilan yang sesuai dengan usiaku yang 46 tahun ini. Kalau ikut pada bentuk fizikal, bukanlah sesuatu yang sukar untuk aku mendapatkan apa-apa pakaian di pasaran. Bentuk tubuh kecil, saiz maintain M, kulit cerah. Tapi kenapa rasa macam tak kena je. Pernah juga kena perli dengan suami, "Aii...tak kan nak kena ke London baru ada yang berkenan.."

Mana tidaknya, semua yang ditunjukkan tak berkenan. Mungkinkah aku terikat dengan peraturan suami yang antaranya melarang aku memakai pakaian berwarna merah terang, tudung mesti menutup dada, handsock, tudung berdagu dan berstokin adalah wajib, baju mesti longgar dan labuh, seluar mesti gelap dan setiap kali bersiap untuk keluar, suami akan suruh aku pusing 2-3 kali depannya untuk memastikan ciri-ciri berpakaian menepati kehendak syarak. Ye lah, dosa aku nanti dia yang akan tanggung.

Mungkinkah itu salah satu sebab aku jadi kurang berkeyakinan untuk berpenampilan. Atau aku yang kurang ilmu dalam hal-hal fesyen ini. Atau aku memang sudah tua.......????








Thursday, September 12, 2019

MENJADI TETAMU PALING INDAH

Assalamualaikum...
KT16B -  Maktab 81 -  Zuwar Al-Bait
45 hari berada di Madinah dan Makkah...saat yang paling indah dalam hidupku dan suami.
Mana tidaknya...semua umat Islam di seluruh dunia mengimpikan hajat untuk menunaikan haji sekali seumur hidup dan aku dan suami antara yang telah dipilih untuk menjadi tetamu Allah di Baitullah.

Saat melangkah kaki menuju ke Masjidil Haram...hati penuh debaran...laungan labbaikallahummalabaik....labbaikala syarikalakalabbaik....meluncur di mulut setiap para jemaah. Rasa sayu dan hiba mula bertandang. Sebaik menjengah masuk ke pintu Masjidil Haram...tangan mula rasa getaran. Ya Allah...aku menjadi tetamuMu Ya Allah...aku hambaMu yang hina dan penuh dosa ini sedang melangkah masuk menuju ke rumahMu Ya Allah.

Sejurus kaki melangkah betul-betul di hadapan Kaabah...air mata sudah tidak dapat ditahan lagi. Bercucuran laju saat terpandang Kaabah yang tersergam di hadapan mata.

Ya Allah....moga hajat kami untuk ke sana lagi Kau makbulkan Ya Allah.
Sungguh indah...hingga ke hari ini..masih terbayang di hadapan mata.


Pesanan Hati

Assalamualaikum...

Kepada yang mengikuti blog ku ini sejak dari dulu hingga kini...terima kasih kuucapkan.
Dulu blog ini kunamakan gebugebumanja. apa yang gebu sangat...apa yang manja sangat pun tak tau lah. Seiring dengan usia yang menginjak ke angka 50...baiklah aku lebih sopan sikit berbahasa. maka aku tukar blog ku ini kepada Pesananhatiku.

Semoga labih menampakkan kematanganku.

Bagi yang mengenaliku...rasanya...sudah banyak kisah tentangku yang kalian ikuti...dari sedih, gembira, manis, pahit, geram...semuanya ada.
Harapanku...yang baik jadikan pedoman, yang kurang baik, jadikan iktibar.




Tuesday, September 10, 2019

Ujian Itu Juga Nikmat

Ujian demi ujian yang kulalui banyak mengajarku erti hidup di dunia ini.
Adakah hanya aku yang diuji sebegini? Itulah dulu persoalan yang sering bermain di fikiranku. Seringkali aku merasakan ujian yang kulalui amat berat untukku...walhal ramai lagi orang di luar sana yang jauh lebih berat lagi ujiannya daripada ku.

Oktober 2016
Kegagalan rumahtanggaku sampai ke penghujungnya. Aku redha dengan ketentuan dan mungkin juga doaku dimakbulkan untuk keluar dari kemelut permasalahan yang tidak pernah ada penghujungnya.

Aku sangkakan berakhirnya episod duka rumahtanggaku, hidupku akan lebih tenang dan bermakna...tetapi rupanya harga sebuah ketenangan dan kebahagiaan bukanlah mudah seperti yang diperkatakan. Satu demi satu ujian datang yang mampu menggoncang keimanan wanita yang lemah seperti aku.
Aku diuji sebagai seorang ibu tunggal, aku diuji sebagai seorang ibu, aku diuji sebagai seorang anak, aku diuji sebagai seorang rakan,  dan aku diuji sebagai seorang wanita yang hidup bersendirian tanpa ada sesiapa yang menyokongnya.

Julai 2017...
Kerana tidak mampu lagi menanggung ujian demi ujian yang datang, dan aku rasakan semakin hilang kekuatan, aku sahut lamaran yang dibuat oleh seorang rakan yang ingin menjadikan aku isterinya. Pada mulanya, berat hati untuk melangkah semula ke alam yang pernah aku lalui sebelum ini, tetapi memandangkan dia juga melalui proses yang hampir sama denganku, permasalahan rumahtangga yang sudah sampai ke penghujungnya, maka aku terima lamarannya atas dasar kepercayaan seorang rakan yang sudah lama dikenali.
Kusangkakan episod duka akan berlalu dan hanya kemanisan sahaja yang datang, tetapi rupanya aku silap. Satu demi satu dugaan untukku melanda.

Semua orang mengatakan bahawa aku perampas suami orang, pemusnah rumahtangga orang, walhal aku sendiri yang menyimpan surat rekod perceraian suamiku dengan bekas isterinya dan perceraian itu berlaku sebelum kami bernikah lagi. Tetapi apakan daya..suamiku berpesan agar jangan ambil peduli apa yang diperkatakan orang.

Rentetan daripada itu, aku dipulaukan oleh ahli keluargaku sendiri termasuk anak lelakiku. Mereka tidak boleh menerima perkahwinanku ini. Bermacam-macam usaha mereka lakukan untuk memisahkan kami. Sehingga ke tahap menggunakan bomoh.
Aku dan suamiku hampir sahaja tewas apabila serangan datang dari setiap penjuru. Pernah satu ketika suamiku tidak pulang ke rumah hampir sebulan akibat daripada perbuatan mereka. Itu belum dikira kesakitan yang kami berdua tanggung sehinggakan kami hampir mahu mengalah.
Tak dapat kugambarkan betapa deritanya aku terpaksa menanggung sendirian saat suamiku dibomohkan sehingga tidak mahu pulang kepadaku.

Mungkin jodoh kami masih ada, aku dan suamiku ikhtiarkan untuk berubat dengan seorang imam. Alhamdulillah, menampakkan hasil. Kemudian aku diuji lagi, serangan dari pihak lain yang membuatkan suamiku mula 'membuat perangai' tidak mahu pulang ke rumah. Ketika itu aku rasa seperti ditipu dan dipermainkan oleh suamiku. Tetapi Allah itu MAHA Bijaksana, ujian Allah itu menguji kesetiaan suamiku kepada ku. Akhirnya dia mengakui kesilapannya dan yakin itu bukanlah kehendaknya. Pada ketika itu, ada pihak yang begitu gembira dengan kejadian yang kami lalui sehingga beranggapan bahawa perkahwinanku kali ini juga sudah sampai ke penghujungnya.

Allah itu Maha Pengasih. Ujian yang amat berat itu berjaya kami lalui dengan jayanya. Walaupun perit dan penuh luka, tetapi rupanya ada kemanisan di sebaliknya.

2018...
Kehidupan aku dan suamiku sudah mula stabil. Berkat kesabaran dan saling memaafkan, aku dan suamiku membuka lembaran baru. Pada ketika itu, aku mendapat tawaran untuk mengikuti kursus haji yang aku dijangkakan akan menjadi tetamuNya pada tahun 2019 nanti. alhamdulillah...suamiku begitu setia menemaniku mengikuti kursus haji tersebut. Dan kami mula mempraktikkan amalan-amalan baik dalam rumahtangga kami.

2019...
Aku menerima surat tawaran sebagai tetamu Allah untuk menunaikan haji. Berita itu amat menggembirakn kami berdua. Aku pun memulakan proses rayuan untuk suamiku menjadi mahramku.
Alhamdulillah...segala urusan dipermudahkan...
Sepanjang berada di Tanah Suci...aku tidak putus berdoa...sekiranya benar dia jodohku hingga ke jannah...aku mohon kepada Allah agar mengeratkan kasih sayang kami sebagaimana eratnya cinta Siti Fatimah dan Saidina Ali.

Ya Allah...inilah nikmat paling besar yang telah Kau beri kepada kami hambaMu yang lemah dan hina ini. Apa lagi nikmatMu yang kami mahu dustakan.

Semoga kebahagiaan dan kegembiraan ini menjadi milik kami hingga ke syurga.
Teringat kata-kata suamiku...."di syurga nanti suami akan dilayan oleh bidadari..."
Semoga suamiku juga akan ingat kata-kataku ini..."abang jangan lupa...isteri abang ni lah yang akan jadi ketua bidadari abang nanti."

DEPRESI @ HALUSINASI

10 Muharram 1441H
Sejak semalam lagi aku terpanggil untuk mencatat sesuatu sebagai tanda ingatan dan
mungkin juga merupakan peringatan untuk diriku sendiri.
Ahad, 8 September 2019 bersamaan 8 Muharram 1441H, jam 1.00 pagi aku bertembung
dengan kak long @ along di dapur sedang memegang pisau di tangan kanannya dan tangan
kiri digenggam erat. Aku terkejut dan terpempan seketika...dengan perasaan berdebar, aku
mengambil pisau di tangannya sambil bertanya dengan nada yang lembut, “Along nak
makan apa ni pegang pisau, nak potong buah ke?” Walhal dalam hati aku dah
menjangkakan bukan itu tujuannya. Kulihat air mata along mengalir di pipi. “Kenapa ni
along?” Along menjawab “Suara tu suruh bunuh orang”. Aku meletakkan pisau di atas
kabinet dapur sambil memberi isyarat pada Atiqah untuk mengambil dan menyimpannya.
Aku mengambil kedua-dua tangannya dan aku dapati tangannya berpeluh. Aku membawa
Along beredar dari situ sambil bertanya, “Along dah makan ubat ke?” Sebaik dia menjawab
belum, aku meminta Kakyang menyediakan ubat Along dan menemaninya sementara aku
menelefon Kaunselor Pn Sarina untuk meminta pendapat beliau tentang tindakan yang aku
patut ambil sekarang.
Aku bergegas mendapatkan semula Along dan bertanya sama ada dia ingin ikut aku ke
hospital. Along bersetuju dan aku mengarahkan along, kakyang dan atiqah untuk bersiap.
Aku lantas mengejutkan suamiku yang sedang lena keletihan di ruang tamu. Perlahan-lahan
aku mengejutkan suamiku dan berbisik ke telinganya tentang apa yang berlaku sebentar
tadi. Suamiku bergegas bangun dan menyuruh kami semua bersiap untuk ke hospital.
Hampir jam 6.00 pagi selesai segala urusan Along di hospital Teluk Intan. Along telah
dimasukkan ke wad psikiatri untuk sementara waktu. Kami berempat pun pulang ke rumah
dalam keadaan yang mengantuk kerana semalaman tidak tidur.
Aku sebaik mungkin cuba mengawal untuk tidak menitiskan air mata di hadapan suami dan
anak-anakku. Satu perasaan sedih yang amat dalam ketika aku bersalam dengan Along dan
menciumnya di sebalik jerji besi yang memisahkan pesakit dan waris di wad tersebut. Ya
Allah...kuatkanlah hatiku...kuatkanlah Along untuk melalui semua ini.
Selesai solat Subuh, aku berdoa kepada Allah s.w.t..
Ya Allah, jika benarlah kata-kataMu, doa seorang ibu itu tiada hijab, kumohon padaMu,
berilah kekuatan dan kesembuhan kepada Along agar dia dapat menjalani hidupnya dengan
lebih bermakna untuk dunia dan akhirat. Aamiin ya rabbal alamin…
Air mataku tumpah lagi...dan suamiku lah menjadi bahu tempatku meluahkan kesedihan.
Pujukan suamiku akhirnya meredakan kesedihanku dan membawa aku berfikir secara
rasional semula dan bukan mengikut emosi.
Petang Ahad tersebut aku dan anak-anakku menziarahi Along lagi. Di wajahnya masih
belum ada keceriaan. Mungkin ubat yang diberi belum dapat menstabilkannya lagi. Aku
memberi kata-kata semangat kepadanya. Begitu juga adik-adiknya.
Isnin petang, selesai menghantar kakyang ke stesen KTM di Tanjung Malim, aku dan Atiqah
menziarahi lagi along. Hari ini nampak jelas keceriaan di wajahnya. Aku meminta Along
menceritakan apa aktivti yang dilakukannya dari pagi sepanjang di wad itu. Dia gembira
bercerita tentang dia mandi, makan dan aktiviti paling banyak iaitu...tidur. Sementara Along
menunaikan solat Asar, aku bertanya kepada nurse di situ tentang keadaan Along di wad.
Nurse maklumkan Along ok dan banyak tidur. Cuma, menurut nurse, along ada meminta
untuk meminjam hp nurse untuk menghubungi ayahnya. Tetapi prosedur di situ tidak
membenarkan. Lantas aku berpesan kepada nurse agar tidak membenarkannya kerana
dikhuatiri perkara tersebut akan mengganggu proses rawatan along.
Aku meminta along mengaku sejujurnya tujuan dia meminta kami memaklumkan kepada
ayahnya. Adakah kerana rindu atau ada perkara lain? Along mengatakan dia hanya ingin
melihat reaksi dan respon ayahnya dan orang lain tentang kemasukannya ke wad ‘psikiatri’.
Mungkin jawapan nya tidak cukup meyakinkan aku. Aku menasihatkannya agar melakukan
perkara itu setelah dia keluar dari wad nanti dengan alasan aku mahu along berehat
sepenuhnya di situ tanpa sebarang gangguan. Along mengangguk tanpa kupasti adakah dia
benar-benar setuju dengan aku atau terpaksa kerana tiada pilihan.
Selasa….
Hari ini doktor menelefon aku menanyakan sama ada aku sudah bersedia untuk membawa
along pulang ke rumah. Menurutnya, doktor dan pihak hospital mendapati along sudah stabil
dan boleh ‘discharge’ petang ini.
Alhamdulillah ...mudah-mudahan Along beransur stabil dan kami bersedia untuk
membawanya pulang.
Ya Allah, Kau rahmatilah Along di dunia ini, kerana aku telah mengampunkan dosanya dan
aku redha dia sebagai anakku yang lahir dari rahimku ini dan Kau rahmatilah Along di
akhirat kelak sebagai salah seorang penghuni syurgaMu kerana segala kelemahannya dan
kekurangannya adalah akibat dari kelalaianku dan kesilapanku dalam mendidiknya.
Aamiin ya rabbal alamin...