Catatan Myazarra

Catatan Myazarra

Tuesday, September 10, 2019

DEPRESI @ HALUSINASI

10 Muharram 1441H
Sejak semalam lagi aku terpanggil untuk mencatat sesuatu sebagai tanda ingatan dan
mungkin juga merupakan peringatan untuk diriku sendiri.
Ahad, 8 September 2019 bersamaan 8 Muharram 1441H, jam 1.00 pagi aku bertembung
dengan kak long @ along di dapur sedang memegang pisau di tangan kanannya dan tangan
kiri digenggam erat. Aku terkejut dan terpempan seketika...dengan perasaan berdebar, aku
mengambil pisau di tangannya sambil bertanya dengan nada yang lembut, “Along nak
makan apa ni pegang pisau, nak potong buah ke?” Walhal dalam hati aku dah
menjangkakan bukan itu tujuannya. Kulihat air mata along mengalir di pipi. “Kenapa ni
along?” Along menjawab “Suara tu suruh bunuh orang”. Aku meletakkan pisau di atas
kabinet dapur sambil memberi isyarat pada Atiqah untuk mengambil dan menyimpannya.
Aku mengambil kedua-dua tangannya dan aku dapati tangannya berpeluh. Aku membawa
Along beredar dari situ sambil bertanya, “Along dah makan ubat ke?” Sebaik dia menjawab
belum, aku meminta Kakyang menyediakan ubat Along dan menemaninya sementara aku
menelefon Kaunselor Pn Sarina untuk meminta pendapat beliau tentang tindakan yang aku
patut ambil sekarang.
Aku bergegas mendapatkan semula Along dan bertanya sama ada dia ingin ikut aku ke
hospital. Along bersetuju dan aku mengarahkan along, kakyang dan atiqah untuk bersiap.
Aku lantas mengejutkan suamiku yang sedang lena keletihan di ruang tamu. Perlahan-lahan
aku mengejutkan suamiku dan berbisik ke telinganya tentang apa yang berlaku sebentar
tadi. Suamiku bergegas bangun dan menyuruh kami semua bersiap untuk ke hospital.
Hampir jam 6.00 pagi selesai segala urusan Along di hospital Teluk Intan. Along telah
dimasukkan ke wad psikiatri untuk sementara waktu. Kami berempat pun pulang ke rumah
dalam keadaan yang mengantuk kerana semalaman tidak tidur.
Aku sebaik mungkin cuba mengawal untuk tidak menitiskan air mata di hadapan suami dan
anak-anakku. Satu perasaan sedih yang amat dalam ketika aku bersalam dengan Along dan
menciumnya di sebalik jerji besi yang memisahkan pesakit dan waris di wad tersebut. Ya
Allah...kuatkanlah hatiku...kuatkanlah Along untuk melalui semua ini.
Selesai solat Subuh, aku berdoa kepada Allah s.w.t..
Ya Allah, jika benarlah kata-kataMu, doa seorang ibu itu tiada hijab, kumohon padaMu,
berilah kekuatan dan kesembuhan kepada Along agar dia dapat menjalani hidupnya dengan
lebih bermakna untuk dunia dan akhirat. Aamiin ya rabbal alamin…
Air mataku tumpah lagi...dan suamiku lah menjadi bahu tempatku meluahkan kesedihan.
Pujukan suamiku akhirnya meredakan kesedihanku dan membawa aku berfikir secara
rasional semula dan bukan mengikut emosi.
Petang Ahad tersebut aku dan anak-anakku menziarahi Along lagi. Di wajahnya masih
belum ada keceriaan. Mungkin ubat yang diberi belum dapat menstabilkannya lagi. Aku
memberi kata-kata semangat kepadanya. Begitu juga adik-adiknya.
Isnin petang, selesai menghantar kakyang ke stesen KTM di Tanjung Malim, aku dan Atiqah
menziarahi lagi along. Hari ini nampak jelas keceriaan di wajahnya. Aku meminta Along
menceritakan apa aktivti yang dilakukannya dari pagi sepanjang di wad itu. Dia gembira
bercerita tentang dia mandi, makan dan aktiviti paling banyak iaitu...tidur. Sementara Along
menunaikan solat Asar, aku bertanya kepada nurse di situ tentang keadaan Along di wad.
Nurse maklumkan Along ok dan banyak tidur. Cuma, menurut nurse, along ada meminta
untuk meminjam hp nurse untuk menghubungi ayahnya. Tetapi prosedur di situ tidak
membenarkan. Lantas aku berpesan kepada nurse agar tidak membenarkannya kerana
dikhuatiri perkara tersebut akan mengganggu proses rawatan along.
Aku meminta along mengaku sejujurnya tujuan dia meminta kami memaklumkan kepada
ayahnya. Adakah kerana rindu atau ada perkara lain? Along mengatakan dia hanya ingin
melihat reaksi dan respon ayahnya dan orang lain tentang kemasukannya ke wad ‘psikiatri’.
Mungkin jawapan nya tidak cukup meyakinkan aku. Aku menasihatkannya agar melakukan
perkara itu setelah dia keluar dari wad nanti dengan alasan aku mahu along berehat
sepenuhnya di situ tanpa sebarang gangguan. Along mengangguk tanpa kupasti adakah dia
benar-benar setuju dengan aku atau terpaksa kerana tiada pilihan.
Selasa….
Hari ini doktor menelefon aku menanyakan sama ada aku sudah bersedia untuk membawa
along pulang ke rumah. Menurutnya, doktor dan pihak hospital mendapati along sudah stabil
dan boleh ‘discharge’ petang ini.
Alhamdulillah ...mudah-mudahan Along beransur stabil dan kami bersedia untuk
membawanya pulang.
Ya Allah, Kau rahmatilah Along di dunia ini, kerana aku telah mengampunkan dosanya dan
aku redha dia sebagai anakku yang lahir dari rahimku ini dan Kau rahmatilah Along di
akhirat kelak sebagai salah seorang penghuni syurgaMu kerana segala kelemahannya dan
kekurangannya adalah akibat dari kelalaianku dan kesilapanku dalam mendidiknya.
Aamiin ya rabbal alamin...

No comments: