Catatan Myazarra

Catatan Myazarra

Tuesday, September 10, 2019

DEPRESI @ HALUSINASI

10 Muharram 1441H
Sejak semalam lagi aku terpanggil untuk mencatat sesuatu sebagai tanda ingatan dan
mungkin juga merupakan peringatan untuk diriku sendiri.
Ahad, 8 September 2019 bersamaan 8 Muharram 1441H, jam 1.00 pagi aku bertembung
dengan kak long @ along di dapur sedang memegang pisau di tangan kanannya dan tangan
kiri digenggam erat. Aku terkejut dan terpempan seketika...dengan perasaan berdebar, aku
mengambil pisau di tangannya sambil bertanya dengan nada yang lembut, “Along nak
makan apa ni pegang pisau, nak potong buah ke?” Walhal dalam hati aku dah
menjangkakan bukan itu tujuannya. Kulihat air mata along mengalir di pipi. “Kenapa ni
along?” Along menjawab “Suara tu suruh bunuh orang”. Aku meletakkan pisau di atas
kabinet dapur sambil memberi isyarat pada Atiqah untuk mengambil dan menyimpannya.
Aku mengambil kedua-dua tangannya dan aku dapati tangannya berpeluh. Aku membawa
Along beredar dari situ sambil bertanya, “Along dah makan ubat ke?” Sebaik dia menjawab
belum, aku meminta Kakyang menyediakan ubat Along dan menemaninya sementara aku
menelefon Kaunselor Pn Sarina untuk meminta pendapat beliau tentang tindakan yang aku
patut ambil sekarang.
Aku bergegas mendapatkan semula Along dan bertanya sama ada dia ingin ikut aku ke
hospital. Along bersetuju dan aku mengarahkan along, kakyang dan atiqah untuk bersiap.
Aku lantas mengejutkan suamiku yang sedang lena keletihan di ruang tamu. Perlahan-lahan
aku mengejutkan suamiku dan berbisik ke telinganya tentang apa yang berlaku sebentar
tadi. Suamiku bergegas bangun dan menyuruh kami semua bersiap untuk ke hospital.
Hampir jam 6.00 pagi selesai segala urusan Along di hospital Teluk Intan. Along telah
dimasukkan ke wad psikiatri untuk sementara waktu. Kami berempat pun pulang ke rumah
dalam keadaan yang mengantuk kerana semalaman tidak tidur.
Aku sebaik mungkin cuba mengawal untuk tidak menitiskan air mata di hadapan suami dan
anak-anakku. Satu perasaan sedih yang amat dalam ketika aku bersalam dengan Along dan
menciumnya di sebalik jerji besi yang memisahkan pesakit dan waris di wad tersebut. Ya
Allah...kuatkanlah hatiku...kuatkanlah Along untuk melalui semua ini.
Selesai solat Subuh, aku berdoa kepada Allah s.w.t..
Ya Allah, jika benarlah kata-kataMu, doa seorang ibu itu tiada hijab, kumohon padaMu,
berilah kekuatan dan kesembuhan kepada Along agar dia dapat menjalani hidupnya dengan
lebih bermakna untuk dunia dan akhirat. Aamiin ya rabbal alamin…
Air mataku tumpah lagi...dan suamiku lah menjadi bahu tempatku meluahkan kesedihan.
Pujukan suamiku akhirnya meredakan kesedihanku dan membawa aku berfikir secara
rasional semula dan bukan mengikut emosi.
Petang Ahad tersebut aku dan anak-anakku menziarahi Along lagi. Di wajahnya masih
belum ada keceriaan. Mungkin ubat yang diberi belum dapat menstabilkannya lagi. Aku
memberi kata-kata semangat kepadanya. Begitu juga adik-adiknya.
Isnin petang, selesai menghantar kakyang ke stesen KTM di Tanjung Malim, aku dan Atiqah
menziarahi lagi along. Hari ini nampak jelas keceriaan di wajahnya. Aku meminta Along
menceritakan apa aktivti yang dilakukannya dari pagi sepanjang di wad itu. Dia gembira
bercerita tentang dia mandi, makan dan aktiviti paling banyak iaitu...tidur. Sementara Along
menunaikan solat Asar, aku bertanya kepada nurse di situ tentang keadaan Along di wad.
Nurse maklumkan Along ok dan banyak tidur. Cuma, menurut nurse, along ada meminta
untuk meminjam hp nurse untuk menghubungi ayahnya. Tetapi prosedur di situ tidak
membenarkan. Lantas aku berpesan kepada nurse agar tidak membenarkannya kerana
dikhuatiri perkara tersebut akan mengganggu proses rawatan along.
Aku meminta along mengaku sejujurnya tujuan dia meminta kami memaklumkan kepada
ayahnya. Adakah kerana rindu atau ada perkara lain? Along mengatakan dia hanya ingin
melihat reaksi dan respon ayahnya dan orang lain tentang kemasukannya ke wad ‘psikiatri’.
Mungkin jawapan nya tidak cukup meyakinkan aku. Aku menasihatkannya agar melakukan
perkara itu setelah dia keluar dari wad nanti dengan alasan aku mahu along berehat
sepenuhnya di situ tanpa sebarang gangguan. Along mengangguk tanpa kupasti adakah dia
benar-benar setuju dengan aku atau terpaksa kerana tiada pilihan.
Selasa….
Hari ini doktor menelefon aku menanyakan sama ada aku sudah bersedia untuk membawa
along pulang ke rumah. Menurutnya, doktor dan pihak hospital mendapati along sudah stabil
dan boleh ‘discharge’ petang ini.
Alhamdulillah ...mudah-mudahan Along beransur stabil dan kami bersedia untuk
membawanya pulang.
Ya Allah, Kau rahmatilah Along di dunia ini, kerana aku telah mengampunkan dosanya dan
aku redha dia sebagai anakku yang lahir dari rahimku ini dan Kau rahmatilah Along di
akhirat kelak sebagai salah seorang penghuni syurgaMu kerana segala kelemahannya dan
kekurangannya adalah akibat dari kelalaianku dan kesilapanku dalam mendidiknya.
Aamiin ya rabbal alamin...

Friday, October 21, 2016

43 tahun...

21 Oktober...tarikh keramat menandakan hayat yang semakin pendek. Di usia 43 tahun...yang mungkin hanya berbaki beberapa tahun saja lagi untuk meneruskan kehidupan. Apakah masih ada ruang untuk memperolehi kebahagiaan?

Sesiapapun di usia sebegini...tidak ada yang inginkan kesedihan dan kekecewaan..namun siapalah yang mampu menolak ketentuan. Bukan tidak berjuang...bukan tidak bersabar...bukan tidak memberi peluang...tetapi kekuatan, ketabahan, kesabaran manusia ada batas-batasnya.

Tiada manusia yang tidak akan memberi peluang kedua atas kesilapan manusia lain..tetapi haruskah ada peluang ketiga..keempat dan kelima untuk kita biarkan diri kita teraniaya.

Mungkin sudah tersurat...kesudahan sebegini adalah untuk memberi ruang agar kita dapat mencari kebahagiaan sebenar dalam hidup kita untuk kita bawa ke akhir hayat dan seterusnya ke alam akhirat. Maka...jangan disesali apa yang telah ditulis sepanjang perjalanan hidup kita.

Bangkitlah untuk meneruskan kehidupan agar kita dapat menikmati hidup yang lebih diberkati. Keluarlah dari kotak yang penuh kegelapan dan kekecewaan...kerana di luar sana terdapat taman-taman  yang menanti untuk diperindahkan dengan kebahagiaan dan senyuman.

Selamat Hari Lahir Buat Diriku ...ZURAIDA BT KAMARUDDIN...


Wednesday, April 20, 2016

15 Cara Memupuk Kepercayaan Terhadap Pasangan



Masalah memang akan selalu ada dalam sebuah perhubungan. Namun kita boleh memikirkan cara yang sesuai untuk meminimakan masalah tersebut walaupun tidak dapat menghindari sepenuhnya. Bila anda bermasalah dengan pasangan anda, cubalah tips berikut:
1.   Konsisten
Bila anda berdua telah bersetuju/ bersepakat atas sesuatu perkara, maka patuhlah kepada kesepakatan itu.
2. Tepat waktu
Cuba untuk menepati waktu bila anda telah menetapkan sesuatu perancangan bersama pasangan bagi mengelakkan pasangan menunggu lama.
3. Kotakan apa yang telah dijanjikan
Jika anda telah berjanji untuk berubah ke arah yang lebih baik, lakukan segera.
4. Jangan berbohong
Walau sekecil mana pun pembohongan, adalah lebih baik hindarkan sifat berbohong sama ada pada pasangan atau orang lain.
5. Bersikap adil
Ketika sedang bertengkar sekalipun, berusahalah untuk berlaku adil terhadap pasangan.
6. Peka terhadap perasaan pasangan
Anda mungkin tidak bersetuju dengan pendapat atau sikap pasangan, namun cubalah untuk menghargai perasaannya.
7. Menelefon pasangan pada waktu yang dijanji
Sesibuk mana pun anda, cubalah untuk menelefon pasangan pada waktu yang telah anda janjikan padanya.
8. Maklumkan anda lewat pulang
Tidak ada sesiapa pun yang akan tenang sekiranya menunggu tanpa kepastian. Maka, adalah lebih baik anda maklumkan kepada pasangan anda sekiranya anda ada urusan yang perlu diselesaikan.
9. Berbahagi tugas rumahtangga seadil mungkin
Agihkan tugas dalam mengurus rumahtangga sebaik mungkin bagi mengelakkan salah seorang berasa terbeban seorang.
10. Bertindakbalas dengan wajar
Apabila terjadi masalah atau harapan anda tidak tercapai, bertindakbalas dengan cara yang wajar, bukan mengikut emosi yang keterlaluan.
11. Hati-hati saat bicara
Hindari kata-kata yang akan membuat anda menyesal di kemudian hari kerana kata-kata yang telah diluahkan sukar untuk ditarik balik.
12. Jangan menggali luka lama
Mungkin pasangan memang pernah lakukan kesalahan besar pada anda,  tetapi apabila anda sudah memaafkan dia dan pasangan sudah menebus kesalahannya, jangan diungkit lagi perkara itu.
13. Hargai privasi
Pasangan mungkin sudah menetapkan batasan-batasan yang tidak boleh anda langgar. Maka, taati dan hargai privasinya. 
14. Lupakan cemburu
Masalah yang satu ini kerap terjadi apabila melibatkan orang ketiga, malahan pertengkaran kecil boleh menjadi besar disebabkan cemburu ini. Kalau dia memang memberikan seluruh cinta dan hatinya pada anda, mengapa anda harus cemburu berlebihan? Boleh juga terjadi dia akan benar-benar curang akibat anda tidak percaya kepadanya.
15. Jadi pendengar yang baik
Bukan hanya anda yang ada masalah dan ingin mengeluh,  pasangan pun demikian. Jadi, berilah kesempatan untuk dia  mencurahkan kegusarannya dan jadilah pendengar yang baik, tetapi bukan untuk menghakiminya.

Monday, April 18, 2016

NAFKAH


Bersusah payah dalam mencari nafkah. 
Berbicara tentang nafkah..dah tentulah fokus utama ditujukan adalah kepada para suami kerana suami yang dipertanggungjawabkan dalam hal pemberian nafkah. Tak pernah lagi dengar isteri yang bertanggungjawab membantu memberi nafkah bagi pihak suami. Namun trend masa kini, kebanyakan isteri dengan rela atau terpaksa tetap membantu suami menyempurnakan nafkah yang tidak mampu disediakan oleh suami.

Berbicara tentang kemampuan, adakah suami benar-benar tidak mampu, atau tidak berusaha sedaya upaya untuk memenuhi keperluan nafkah tersebut. Alasan biasa didengari, hidup lah ikut kemampuan yang ada. Boleh kah dalam zaman yang serba mencabar dan memerlukan kos sara hidup yang tinggi manusia hanya berserah kepada cukuplah rezeki yang ada. Bukankah manusia disarankan untuk berusaha dan bersusah payah dalam mencari rezeki seolah-olah akan hidup selamanya.

Kepada para suami...hayatilah maksud sebenar nafkah dan tanggungjawab anda yang sepatutnya anda lunaskan dalam aspek pemberian nafkah. Bukan setakat menyediakan makan minum...malahan halal atau tidak makanan dan minuman yang disediakan, bersih atau tidak, baik atau tidak..cukup atau tidak....semua tertakluk kepada mereka yang memberi nafkah tersebut. Inilah yang dinamakan bersusah payah.

Sekiranya tidak mencukupi...apa yang perlu dilakukan. Sekiranya tidak baik...apa tindakan yang perlu diambil. Selagi makan minum itu akan menjadi darah daging, maka susah payah lah sedikit bagi memastikan ianya mendapat keberkatan dan keredhaan.