Akhirnya, tarikh 1 Januari 2027 bakal tiba untuk saya selesaikan khidmat sebagai penjawat awam.
Semua urusan dokumen berkaitan telah selesai. Namun masih ada beberapa proses yang perlu diuruskan.
Hanya satu doa, semoga Allah perkenankan doa untuk saya jalani fasa persaraan nanti dengan kesihatan yang baik, kewangan yang mencukupi, hati yang tenang dan paling penting saya dapat menambahbaik amal ibadat saya.
Di tahun terakhir ini macam-macam rasa ada, gembira, sedih, risau. Tapi saya percaya Allah bersama saya sepanjang perjalanan hidup saya ini. Banyak suka duka yang telah dilalui. Sehinggakan ada seorang rakan sekerja ada menyebut "Kak tengok Zu ni maintain dari segi penampilan, emosi, tingkah laku walaupun kisah hidup Zu penuh dengan ujian".
Saya hanya mampu tersenyum sahaja menandakan saya berjaya sembunyikan apa yang ada dalam hati dan fikiran saya dari pengetahuan orang lain yang tak rapat dengan saya. Hanya Allah saja tau apa yang saya rasa dan sekuat apakah saya cuba bertahan dengan satu demi satu ujian yang datang. Ada kala saya mampu, ada kala saya kalah dan gagal dengan ujian.
Tapi sedikit pun Allah tak tinggalkan saya sendirian. Sedih dan sakit yang saya tanggung yang ada kalanya tak termampu untuk ditahankan. Air mata usah dikirakan berapa banyak yang tumpah. Bukan kecil ujian yang Allah beri untuk saya terus bertahan dengan keyakinan saya mampu.
Semoga dengan persaraan ini saya mampu mendidik diri saya menjadi yang lebih baik dari sebelum ini. Semoga Allah izinkan saya untuk bersujud dan menadah tangan lagi di hadapan kaabah. Soal jodoh, saya serahkan semuanya kepada Allah. Jika tiada di dunia, mungkin saya hnaya perlu bersabar untuk dipertemukan di syurga kelak, insyaAllah.