Catatan Myazarra

Catatan Myazarra

Monday, October 7, 2019

Yakinlah Allah itu Maha Segala....

Setiap daripada kita pasti mempunyai seseorang di dunia ini yang seringkali kita meletakkan kepercayaan dan berserah serta berharap kepadanya dalam pelbagai perkara.
Namun, pernahkah kita terfikir, jika sesuatu berlaku kepada orang tersebut, misalnya dia ditimpa kemalangan atau pergi mengadap Illahi, apa akan terjadi kepada semua harapan yang kita sandarkan kepadanya?
Kepada siapa kita harus bergantung harap selepas itu?
Disebabkan itulah, kita tidak seharusnya meletakkan sepenuh kepercayaan, berserah dan berharap kepada manusia, kerana manusia adalah makhluk Allah yang pasti akan mati.
Atas sebab itulah, Allah S.W.T. menyuruh hamba-hamba-Nya untuk bertawakal dan berserah hanya kepada-Nya kerana Dia Maha Menentukan, Maha Mengetahui dan Dia tidak akan mati.
Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan (Ingatlah), sesiapa berserah diri (bertawakal) sepenuhnya kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan baginya (untuk menolong dan menyelamatkannya). Sesungguhnya Allah tetap melaksanakan segala perkara yang dikehendaki-Nya. Sesungguhnya Allah telah pun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” (Surah At-Thalaq 65; Ayat 3).
Begitu juga dalam soal kepercayaan kepada pasangan. Ramai di kalangan kita yang tidak banyak...sedikit pasti ada rasa curiga terhadap pasangan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang pernah ditipu oleh pasangan. Hati akan menjadi tidak tenang memikirkan pasangan yang tidak berada di depan mata. Iblis pula mula memainkan peranan menghasut untuk menambahkan lagi prasangka. Macam-macam usaha yang dilakukan selagi tidak memuaskan hati sendiri. Kadangkala benda yang baik pun nampak tidak baik. Ini kerana hati telah mula hitam dengan bisikan syaitan.
Percayalah kepada Allah s.w.t. kerana Allah itu Maha segala. Jika ikhlas hati kita mencintai pasangan, jika jujur kita ingin hidup bersamanya kerana Allah s.w.t....segala kebenaran, kejujuran dan keikhlasan pasangan pada kita akan Allah tunjukkan tanpa perlu pasangan itu sendiri menunjuk-nunjuk kepada kita. Sebaliknya juga akan Allah tunjukkan jika pasangan itu tidak ikhlas  dan tidak jujur terhadap kita. Maka, tidak perlu bimbang dan terlalu obses memikirkan pasangan kita di mana, dengan siapa, buat apa dan sebagainya yang boleh mengganggu ketenteraman jiwa kita sendiri.
Peganglah kepercayaan bahawa 'Allah itu Maha'. Sebijak-bijak manusia...bijaksana lagi Allah s.w.t. Sentiasa tetapkan dalam hati...Allah itu ada...aku hanya berserah kepada Allah...hanya Allah tempat ku mengadu...hanya Allah yang tahu apa yang terbaik untukku. InsyaAllah...hati kita akan tenteram dan aman...sentiasa lah berfikiran positif dan rasional terhadap sesuatu situasi.
Sekian...ikhlas dari Zarra atas pengalaman hidup yang dilalui sendiri.

No comments: