Ujian demi ujian yang kulalui banyak mengajarku erti hidup di dunia ini.
Adakah hanya aku yang diuji sebegini? Itulah dulu persoalan yang sering bermain di fikiranku. Seringkali aku merasakan ujian yang kulalui amat berat untukku...walhal ramai lagi orang di luar sana yang jauh lebih berat lagi ujiannya daripada ku.
Oktober 2016
Kegagalan rumahtanggaku sampai ke penghujungnya. Aku redha dengan ketentuan dan mungkin juga doaku dimakbulkan untuk keluar dari kemelut permasalahan yang tidak pernah ada penghujungnya.
Aku sangkakan berakhirnya episod duka rumahtanggaku, hidupku akan lebih tenang dan bermakna...tetapi rupanya harga sebuah ketenangan dan kebahagiaan bukanlah mudah seperti yang diperkatakan. Satu demi satu ujian datang yang mampu menggoncang keimanan wanita yang lemah seperti aku.
Aku diuji sebagai seorang ibu tunggal, aku diuji sebagai seorang ibu, aku diuji sebagai seorang anak, aku diuji sebagai seorang rakan, dan aku diuji sebagai seorang wanita yang hidup bersendirian tanpa ada sesiapa yang menyokongnya.
Julai 2017...
Kerana tidak mampu lagi menanggung ujian demi ujian yang datang, dan aku rasakan semakin hilang kekuatan, aku sahut lamaran yang dibuat oleh seorang rakan yang ingin menjadikan aku isterinya. Pada mulanya, berat hati untuk melangkah semula ke alam yang pernah aku lalui sebelum ini, tetapi memandangkan dia juga melalui proses yang hampir sama denganku, permasalahan rumahtangga yang sudah sampai ke penghujungnya, maka aku terima lamarannya atas dasar kepercayaan seorang rakan yang sudah lama dikenali.
Kusangkakan episod duka akan berlalu dan hanya kemanisan sahaja yang datang, tetapi rupanya aku silap. Satu demi satu dugaan untukku melanda.
Semua orang mengatakan bahawa aku perampas suami orang, pemusnah rumahtangga orang, walhal aku sendiri yang menyimpan surat rekod perceraian suamiku dengan bekas isterinya dan perceraian itu berlaku sebelum kami bernikah lagi. Tetapi apakan daya..suamiku berpesan agar jangan ambil peduli apa yang diperkatakan orang.
Rentetan daripada itu, aku dipulaukan oleh ahli keluargaku sendiri termasuk anak lelakiku. Mereka tidak boleh menerima perkahwinanku ini. Bermacam-macam usaha mereka lakukan untuk memisahkan kami. Sehingga ke tahap menggunakan bomoh.
Aku dan suamiku hampir sahaja tewas apabila serangan datang dari setiap penjuru. Pernah satu ketika suamiku tidak pulang ke rumah hampir sebulan akibat daripada perbuatan mereka. Itu belum dikira kesakitan yang kami berdua tanggung sehinggakan kami hampir mahu mengalah.
Tak dapat kugambarkan betapa deritanya aku terpaksa menanggung sendirian saat suamiku dibomohkan sehingga tidak mahu pulang kepadaku.
Mungkin jodoh kami masih ada, aku dan suamiku ikhtiarkan untuk berubat dengan seorang imam. Alhamdulillah, menampakkan hasil. Kemudian aku diuji lagi, serangan dari pihak lain yang membuatkan suamiku mula 'membuat perangai' tidak mahu pulang ke rumah. Ketika itu aku rasa seperti ditipu dan dipermainkan oleh suamiku. Tetapi Allah itu MAHA Bijaksana, ujian Allah itu menguji kesetiaan suamiku kepada ku. Akhirnya dia mengakui kesilapannya dan yakin itu bukanlah kehendaknya. Pada ketika itu, ada pihak yang begitu gembira dengan kejadian yang kami lalui sehingga beranggapan bahawa perkahwinanku kali ini juga sudah sampai ke penghujungnya.
Allah itu Maha Pengasih. Ujian yang amat berat itu berjaya kami lalui dengan jayanya. Walaupun perit dan penuh luka, tetapi rupanya ada kemanisan di sebaliknya.
2018...
Kehidupan aku dan suamiku sudah mula stabil. Berkat kesabaran dan saling memaafkan, aku dan suamiku membuka lembaran baru. Pada ketika itu, aku mendapat tawaran untuk mengikuti kursus haji yang aku dijangkakan akan menjadi tetamuNya pada tahun 2019 nanti. alhamdulillah...suamiku begitu setia menemaniku mengikuti kursus haji tersebut. Dan kami mula mempraktikkan amalan-amalan baik dalam rumahtangga kami.
2019...
Aku menerima surat tawaran sebagai tetamu Allah untuk menunaikan haji. Berita itu amat menggembirakn kami berdua. Aku pun memulakan proses rayuan untuk suamiku menjadi mahramku.
Alhamdulillah...segala urusan dipermudahkan...
Sepanjang berada di Tanah Suci...aku tidak putus berdoa...sekiranya benar dia jodohku hingga ke jannah...aku mohon kepada Allah agar mengeratkan kasih sayang kami sebagaimana eratnya cinta Siti Fatimah dan Saidina Ali.
Ya Allah...inilah nikmat paling besar yang telah Kau beri kepada kami hambaMu yang lemah dan hina ini. Apa lagi nikmatMu yang kami mahu dustakan.
Semoga kebahagiaan dan kegembiraan ini menjadi milik kami hingga ke syurga.
Teringat kata-kata suamiku...."di syurga nanti suami akan dilayan oleh bidadari..."
Semoga suamiku juga akan ingat kata-kataku ini..."abang jangan lupa...isteri abang ni lah yang akan jadi ketua bidadari abang nanti."
No comments:
Post a Comment